Pages

Thursday, January 21, 2010

LATAR BELAKANG SMK SUNGAI KOB

SMK Sungai Kob adalah sebuah sekolah yang terletak di kawasan luar bandar, kira-kira 15 kilometer dari Pekan Kulim dan ditubuhkan pada tahun 1986. Dahulunya, Sungai Kob turut dikenali sebagai Bukit Payung. Sekolah ini berkeluasan 15 ekar yang terletak berhadapan dengan kawasan Perumahan Taman Mutiara. Tapak pembinaan sekolah ini pada dahulunya merupakan kawasan ladang getah. Pada asalnya, sekolah ini mempunyai tiga blok bangunan, iaitu blok A, B dan C, sebuah bengkel Kemahiran Hidup, 3 buah bilik makmal Sains serta sebuah asrama desa.

Asrama SMK Sungai Kob telah dibina pada tahun 1989 dan mula beroperasi pada Disember 1990. Kini, SMK Sungai Kob berwajah baru apabila 2 blok bangunan baru, iaitu blok D dan blok E dibina. Perasmian bangunan baru ini telah disempurnakan oleh Tuan Haji Abdullah bin Saad, Pegawai Pelajaran Daerah Kulim Bandar Baharu pada 13 Ogos 2003.

Di awal penubuhan sekolah ini, tenaga pengajar terdiri daripada 9 orang tenaga pengajar, 2 orang staf sokongan dan bilangan pelajar dalam sekolah ini ialah seramai 144 orang sahaja. Terdapat 3 buah kelas untuk pelajar Tingkatan 1 dan sebuah kelas Peralihan. Setiap kelas mempunyai 36 orang pelajar. Di awal penubuhan sekolah ini pada tahun 1986, para pelajar, guru-guru dan staf sokongan menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Sungai Kob selama 4 bulan. Persekolahan dijalankan pada sesi petang sahaja.

Namun, menjelang bulan April 1986, warga SMK Sungai Kob telah berpindah ke bangunan baru iaitu bangunan yang ada sekarang dengan menjalankan sesi
persekolahan pada sesi pagi sahaja.

Para pelajar SMK Sungai Kob pada masa itu terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Kebanyakan waris pelajar terdiri daripada penoreh getah. Pada mula pembukaan sekolah ini, sekolah ini menjalankan persekolan satu sesi pada tahun 1986. Pada tahun 1993, telah ditukar kepada 2 sesi persekolahan. Kemudian ditukar semula kepada 1 sesi persekolahan pada tahun 2002 hingga 2007. Pada tahun 2008, sesi persekolahan kembali ke 2 sesi sehingga sekarang.
Pada tahun 1986 hingga 1995, SMK Sungai Kob merupakan sekolah gred B.

Menjelang tahun 1995 hingga 1998 ditukar kepada sekolah gred A dan ditukar semula ke sekolah gred B pada tahun 1998 hingga 2001. Hal ini kerana, bilangan pelajar sekolah berkurang. Bermula tahun 2002 telah dinaikkan semula menjadi sekolah gred A.

Pada awal penubuhan sekolah ini, hanya terdapat tingkatan 1 hingga tingkatan 3 sahaja iaitu antara tahun 1986 hingga 1988. Namun, pada tahun 1989 telah diwujudkan tingkatan 4 di sekolah ini. Tingkatan 5 mula diperkenalkan pada tahun 1990. Menjelang tahun 2003, tingkatan 6 mula diperkenalkan dengan permulaan hanya dengan 2 buah kelas sahaja. Namun, sekarang sokolah ini telah mempunyai 4 buah kelas tingkatan 6 yang terdiri daripada 2 kelas 6 Atas dan 2 kelas 6 Bawah.

Warga SMK Sungai Kob sekarang terdiri daripada 1643 orang pelajar, 119 orang guru serta 14 orang staf sokongan. Pada tahun 2003, sebuah kuarters Institusi Pelajaran SMK Sungai Kob telah dibina bersebelahan padang sekolah. Kuarters ini mempunyai 4 buah blok bangunan
yang menempatkan guru-guru dari sekolah seluruh daerah Kulim Bandar Baharu.